Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, kegusaran rakyat mula timbul apabila melihat suasana santai  tarian ‘twist’ yang tular itu seolah-olah menggambarkan keadaan yang diharapkan semakin kelabu.

“Paling merisaukan rakyat adalah kehadiran dan keterlibatan Ketua Hakim Negara. Sejarah membuktikan bahawa individu terhormat itu sentiasa sahaja berada di bawah radar pemerhatian rakyat.

“Pada suatu ketika, waima percutian Ketua Hakim sekali pun  dipertikaikan rakyat  dan media,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Reezal Merican menegaskan tidak perlu dibangkitkan sama ada mereka menari ‘satu’ atau ‘setengah lagu’,  tetapi yang menjadi pertikaian adalah tidak wujud garis pemisah antara golongan tersebut.

“Setahu saya, apa yang berlaku sememangnya melanggar Kod Etika Hakim (2009). Malah, situasi itu mewujudkan kesangsian dan salah tanggap yang sangat nyata. Malaysia baharu tidak boleh menerima kecuaian begini.

“Para hakim sewajarnya menolak  gambaran ketidaksopanan dalam pergaulan mereka. Saya yakin, Ketua Hakim tidak terkecuali daripada kod etika ini,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE