Ketua Penerangan Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP), Nesh Cilamuthu berkata, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu berharap Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku ketua kerajaan supaya segera menunaikan janji manifesto gabungan berkenaan.

“PSAP menuntut janji-janji manifesto PRU-14 PH itu demi kelangsungan perpaduan kebajikan dalam negara tercinta ini.

“Semoga Tun Mahathir berada dalam keadaan sihat dan dapat menjalankan tugas-tugas selaku ketua kerajaan dengan penuh kejujuran dan bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan kepada Utusan Online di sini hari ini.

Nesh berkata, PSAP berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana baru-baru ini meluluskan peruntukan RM637 juta bagi pelaksanaan tiga projek infrastruktur untuk kemudahan rakyat di negeri ini.

“Terima kasih juga kepada Tun Mahathir kerana menitikberatkan soal kebajikan kemanusiaan di negara ini khususnya di negeri ini walaupun Pahang masih kekal diterajui oleh Barisan Nasional (BN),” katanya. - UTUSAN ONLINE