Rakyat marhaen lawan kumpulan elit dalam PKR - Johari Abdul
 Johari Abdul 

Johari berkata, ini kerana pasukan calon Timbalan Presiden yang diketuai Rafizi Ramli tidak mempunyai kedudukan dalam kerajaan ketika ini.

Ujarnya, pemilihan PKR kali ini juga berbeza memandangkan parti itu kini mempunyai kuasa di peringkat Kerajaan Persekutuan.

“Ia memberi dimensi baharu kerana kita lawan orang yang ada kedudukan, ada yang berjawatan Menteri Kanan, Timbalan Menteri dan media berbanding kami yang tidak punya apa-apa iaitu kumpulan rakyat marhaen,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan 20 tahun reformasi di sini malam tadi yang turut dihadiri Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Rafizi.

Sementara itu, Johari berkata, PKR perlu mempunyai struktur pimpinan yang memberi sokongan padu kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden supaya tidak timbul masalah pada kemudian hari.

“Ini penting supaya kita dapat pastikan individu yang menjadi Perdana Menteri dapat laksanakan kerja tanpa memikirkan timbalannya yang merancang untuk gugat kedudukannya,” katanya.

Menurut Johari, soal keikhlasan dalam perjuangan dalam parti sangat penting tanpa membuka ruang untuk mewujudkan persepsi negatif. – UTUSAN ONLINE