Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, perkara yang paling terkesan ialah apabila gagasan Dekad Baharu Johor untuk 10 tahun tidak dapat diteruskan berikutan perubahan kerajaan negeri.

Ketua Pembangkang negeri itu berkata, Dekad Baharu Johor yang dicetuskan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin akan menjadikan Johor sebuah negeri termaju dalam tempoh tersebut.

"Bagaimanapun malang pengundi di Johor telah menolak BN dan memilih Pakatan Harapan (PH) kerana  terpedaya dengan janji-janji manis yang ditaburkan mereka semasa kempen PRU-14.

"Begitu juga dengan projek  yang memberi manafaat kepada ekonomi dan rakyat di negeri ini tidak dapat diteruskan seperti projek Kereta Api Laju Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR),” katanya ketika berucap dalam majlis Perpaduan Ummah bersama Parti Pas di Pekan Ayer Baloi di sini, malam tadi.

Yang turut hadir Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Pesuruhjaya Pas Johor, Ustaz Abdullah Husin, Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Timbalan Pesuruhjaya Pas Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil.

Program tersebut merupakan julung-julung kali bagi UMNO Bahagian Pontian dan Pas Kawasan Pontian berkongsi ceramah dipentas yang sama setelah termeterainya kerjasama antara BN dan Pas Pusat.

Hasni yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian berkata, apabila projek HSR dibatalkan, banyak cadangan lain termasuk pembangunan hab rel terpaksa juga dibatalkan perlaksanaannya.

“Berapa ramai anak-anak muda di Johor telah  kehilangan peluang perkerjaan yang dapat diwujudkan sekiranya projek HSR dilaksanakan termasuk dalam bidang latihan dan sebagainya,” ujarnya.

Oleh demikian katanya, kerjasama antara Pas dan BN perlu dipertingkatkan dari masa ke semasa bagi membela masa depan orang-orang Melayu walaupun menerima tuduhan dan tohmahan pihak tertentu.

Katanya, tuduhan yang menyatakan kerjasama BN dan Pas akan menjadikan negara ini sebuah negara  Taliban adalah tuduhan yang mengarut dan tidak berasas di samping mengaitkan dengan kejadian pembunuhan di New Zealand.

“UMNO Johor menyambut baik penganjuran Ceramah Perpaduan Ummah seperti ini bagi memberikan  gambaran jelas kepada orang-orang Melayu supaya menyedari ancaman yang sedang dihadapi oleh mereka," tegasnya. - UTUSAN ONLINE