NAJMIL FAIZ
NAJMIL FAIZ

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, keluhan dan kebimbangan pekerja MMC-Gamuda yang tular dalam media apabila kerajaan mahu membatalkan projek itu ternyata satu manifestasi ketidakpuasan hati rakyat terhadap keputusan kerajaan hari ini.

"Sejak kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran negara, kita mendengar ribuan penjawat awam diberhentikan kerja dengan alasan diberhentikan kerana lantikan politik, sedangkan ada laporan mendedahkan terdapat penjawat awam berstatus kontrak yang sudah bekerja 20 tahun turut diberhentikan.

"Saya lihat kerajaan hari ini tidak berpegang kepada prinsip Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, namun apa yang lebih penting bagi kerajaan hari ini adalah untuk mencantas projek-projek yang dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini tanpa memikirkan nasib rakyat,” katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Online, di sini hari ini.

Najmil berkata, kerajaan hari ini lebih bersikap pembuli rakyat apabila membuat keputusan tanpa memikirkan langsung nasib rakyat di akar umbi.

Jelas beliau, kerajaan hari ini sepatutnya tampil dengan idea-idea baharu yang meyakinkan untuk memperkukuhkan ekonomi negara sekali gus menaikkan taraf kehidupan rakyat dan bukan hanya bertindak membalas dendam terhadap kerajaan sebelum ini. - UTUSAN ONLINE