Malah menerusi kenyataannya dalam akaun Facebook beliau, Rafizi percaya JPP didesak untuk tidak mengadakan pengundian semula, walaupun sebelum itu JPP sendiri mengakui sistem e-undi di Julau telah digodam dan tablet-tablet telah dicerobohi.

Beliau menganggap keputusan itu adalah tidak adil kepadanya yang tewas tipis dalam saingan merebut jawatan Timbalan Presiden PKR kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, selain rakan-rakan pemimpin dan penyokongnnya yang turut terlibat dalam pemilihan parti.

“Sebab itu, keputusan JPP dalam kenyataan pagi ini bahawa kejadian tablet dicerobohi dan sistem e-undi digodam di Cabang Julau tidak mempunyai apa-apa kesan kepada kewibawaan data adalah tidak masuk akal.

“Ia adalah kenyataan yang 100 peratus bertentangan dengan kenyataan awal yang dikeluarkan oleh JPP sendiri,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Rafizi membayangkan seandainya pemilihan semula diadakan di Julau, beliau mampu melakar kejutan untuk mengatasi pesaingnya dalam perebutan jawatan nombor dua tertinggi parti.

“Apabila masalah data di Cabang Pensiangan, Sabah diselesaikan, dijangkakan saya hanya ketinggalan sekitar 2,000 undi di belakang saudara Azmin.

“Pengundian semula di Cabang Julau kerana pengundian yang lepas telah hilang wibawa apabila tablet dicerobohi, akan memberi kelebihan secara keseluruhan kepada saya jika jumlah pengundi yang keluar melebihi 2,000 orang,” katanya.

Rafizi pada masa sama mengkritik beberapa pihak yang mempertikaikan pertambahan ahli PKR di Cabang Julau, sedangkan hal yang sama berlaku di cabang-cabang lain termasuk yang dikuasai oleh kartel Mohamed Azmin. - UTUSAN ONLINE