Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, perkembangan positif itu membolehkan pihaknya tidak berdepan masalah untuk terus menghormanikan hubungan dengan Ameerah Pas, baik di peringkat pimpinan mahupun akar umbi.

“Dalam parti, Ameerah bukan sayap tetapi sebuah biro, tetapi Dewan Muslimat Pas sudah buat ketetapan yang Ameerah akan bersama Puteri ketika menghadapi PRK-PRK yang lalu dan hikmahnya, kita menjadi sangat rapat.

“Awal-awal dulu memang kita nampak malu-malu alah, namun lama-kelamaan kami mula agresif menjalankan gerak kerja bersama dan kami tidak ada masalah untuk memantapkan lagi hubungan apabila kerjasama UMNO dan Pas dimuktamadkan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Machang di Pusat Transformasi Ilmu, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri merangkap Ketua UMNO Bahagian Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Mengulas lanjut, Zahida memberitahu, susulan kerjasama yang bermula ketika menghadapi PRK, kedua-dua pihak mengadakan sesi perjumpaan di peringkat pusat sebelum meneruskan perkara sama di negeri-negeri termasuk setiap bahagian.

“Alhamdulillah kita sudah mula susun gerak kerja bersama-sama. Sekarang, kalau ada apa-apa program pun kita jalankan bersama,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zahida berkata pihaknya menyambut baik cadangan had umur mengundi diturunkan kepada 18 tahun, namun mengakui cabaran besar menanti mereka dalam mendidik kelompok pengundi baharu itu mengenai politik tanah air.

“Mereka yang berusia 18 tahun ini tidak tahu situasi semasa negara, dan mungkin mudah terpengaruh dengan pujuk rayu semata-mata. Jadi menjadi tugas kita untuk didik golongan ini tentang situasi terkini politik negara,” katanya. - UTUSAN ONLINE