Jurucakap MCA, Mike Chong Yew Chuan berkata, tindakan itu juga bukan sahaja akan mengecewakan ramai pengundi malah, bercanggah dengan janji manifesto kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Pusingan U oleh kerajaan PH ini dilihat sebagai langkah terdesak untuk menyelamatkan PTPTN yang dilaporkan terpaksa menanggung hutang RM40 bilion dan disifatkan lebih besar daripada hutang ditanggung 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Ia harus ditekankan bahawa cabaran yang dihadapi PTPTN hari ini berpunca daripada PH sendiri, yang telah menghasut penyokong-penyokongnya supaya tidak membayar balik hutang mereka, malah juga berjanji memansuhkan semua hutang apabila mereka membentuk kerajaan.

“Ini adalah antara sebab PTPTN merekodkan prestasi bayaran balik pinjaman yang rendah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE