Malah, Mohamad Khir percaya bahawa Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak pernah membuat keputusan silap untuk membubarkan parlimen bagi mengadakan pilihan raya umum, apatah lagi ketika ini parti kerajaan yang memerintah masih tidak bersedia.

Sehubungan itu beliau meminta parti pembangkang khususnya UMNO tidak mudah terpedaya dengan perkara tersebut, sebaliknya apa yang penting ialah ahli-ahli parti sentiasa bersedia untuk menghadapi apa jua cabaran yang bakal berlaku.

“Kalau ada pihak mengatakan PRU-15 akan diadakan dalam tempoh terdekat ini atau awal tahun depan, ini adalah andaian tidak betul kerana apa yang kita ketahui kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menjadi pemerintah negara sekarang ini masih tidak stabil dan berhadapan dengan pelbagai isu sehingga tidak disenangi rakyat.

“Jadi, adakah dalam keadaan politik tidak menentu seperti ini Tun Dr. Mahathir akan mengadakan pilihan raya dalam tempoh terdekat, tidak ada Perdana Menteri yang bertindak mengadakan pilihan raya untuk kalah, kalau kita lihat Tun Dr. Mahathir sebelum ini tidak pernah kalah dalam pilihan raya.

“Malah, ketika menyertai parti pembangkang pun beliau boleh menang,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Marang, di Angulia Beach Resort di sini petang semalam.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Marang, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku; Ketua Wanita UMNO negeri, Toh Puan Zaitun Mat Amin; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO negeri, Tengku Haphiz Tengku Putera dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Marang, Zul Fadli Rozi.

Menurut Mohamad Khir, pemimpin dan ahli-ahli UMNO seharusnya tidak terlalu memikirkan soal bilakah PRU-15 bakal diadakan kerana apa yang paling penting

mencari jalan bagaimana untuk memperkuatkan dan menggerakkan parti dalam usaha menawan semula hati rakyat yang bertindak menolak UMNO semasa PRU-14.

“Banyak perkara yang UMNO perlu perbetulkan melalui kesilapan lalu, kita kena fikirkan bagaimanakah untuk membentuk sebuah kerajaan yang jauh lebih baik berbanding kerajaan PH sekarang yang mulai diperkatakan rakyat.

“ Jika diberi mandat semula oleh rakyat, apakah yang perlu dilakukan,”soalnya. - UTUSAN ONLINE.