Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, usul yang akan dibentang oleh Ketua Majlis Parlimen untuk dibahaskan itu hanya memerlukan kemenangan majoriti mudah di Dewan Rakyat.

Kata beliau, sebaik sahaja usul itu diluluskan di Dewan Rakyat, perkenan Yang di-Pertuan Agong akan diperlukan sebelum ia digazetkan.

“Itu sahaja yang saya boleh beritahu kerana ini maklumat rasmi yang kita ketahui, tarikh pembubaran saya tidak tahu, tarikh mengundi pun saya tidak tahu,” katanya ketika berucap dalam Luncheon Talk bersama ketua-ketua pengarang dan pemegang permit penerbitan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut melancarkan hashtag #mediacouncil bagi mengumpul input daripada pemain-pemain industri media untuk semakan semula terhadap Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

“Saya buka kepada semua pengamal media dan industri percetakan serta penerbitan untuk melontarkan idea dan pandangan masing-masing, selepas pilihan raya ini, kita akan duduk bersama,” katanya.

Dalam pada itu, berhubung keuntungan yang dinikmati syarikat Google serta Facebook dalam platform pengiklanan di negara ini, Ahmad Zahid berkata beliau akan membawa cadangan dalam mesyuarat Kabinet esok supaya syarikat antarabangsa terbabit turut dikenakan cukai. - UTUSAN ONLINE