MUHYIDDIN YASSIN

Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, persetujuan itu telah dicapai bersama gabungan pembangkang PKR biarpun boleh menggunakan logo parti masing-masing dalam PRU-14.

“Dengan keputusan mahka­mah hari ini, bermakna kedudukan PPBM belum dan tidak terbatal. Lagipun, kita sudah buat persiapan awal mengenai soal kerjasama dalam gabungan pembangkang PKR termasuk persetujuan menggunakan logo PKR.

“Segala persiapan yang dilakukan tidak terganggu. Calon-calon parti yang dipilih akan tetap menggunakan logo PKR ketika bertanding nanti,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menggantung keputusan ROS yang membubarkan sementara pendaftaran PPBM sehingga permohonan semakan kehakiman dikemukakan parti itu diputuskan.

Hakim Datuk Azizah Nawawi memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan PPBM yang diwakili peguam Rosli Dahlan memulakan pro­siding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan ROS yang membubarkan sementara parti itu.

Hakim berkenaan yang membuat keputusan di kamar hakim di sini pada masa sama turut menolak bantahan awal yang dikemukakan Jabatan Peguam Negara yang diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Shamsol Bolhassan.

Awal bulan ini, ROS mengeluarkan perintah pembubaran sementara terhadap PPBM mengikut Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan 1966 kerana gagal mengemukakan maklumat dan juga dokumen yang diminta jabatan itu.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, selepas keputusan mahkamah itu, tiada halangan bagi PPBM berfungsi sebagai parti politik yang sah.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebelum ini, Majlis Presiden gabungan pembangkang PKR juga sudah menetapkan untuk menggunakan logo PKR pada PRU-14.

“Kami telah memaklumkan beberapa kali mengenai persetujuan yang telah dicapai. Malah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam satu kenya­taan turut menjelaskan tiada halangan untuk gabungan pembangkang PKR mengguna pakai logo dalam PRU-14.

“Jadi, saya percaya apa sahaja status (pendaftaran) tidak akan menjejaskan kedudukan parti termasuk persiapan menjelang PRU-14,” ujarnya.

Segala persiapan yang dilakukan tidak terganggu. Calon-calon parti yang dipilih akan tetap menggunakan logo PKR ketika bertan­ding dalam PRU-14.”