Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, pihaknya juga telah mengenal pasti individu yang berisiko menjadi ejen provokasi dan mencetuskan ketegangan.

“Pihak polis memang telah mengenal pasti mereka yang boleh timbulkan masalah, tetapi siapa mereka ini kita tidak boleh dedahkan.

“Kita telah bersiap sedia dengan keanggotaan yang ada di negeri ini untuk menghadapi PRU-14,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan di sini hari ini.

Noor Azam menjelaskan, mereka yang dikenal pasti berisiko menimbulkan masalah di negeri ini termasuk dalam senarai 1,100 individu di seluruh negara yang didapati berpotensi melakukan kekecohan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pihak supaya tidak cuba menimbulkan ketegangan di negeri ini sepanjang PRU-14 dan sentiasa mematuhi undang-undang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun pada 22 Mac lalu memaklumkan polis mengenal pasti kira-kira 1,100 individu dan organisasi yang berpotensi menimbulkan kekecohan pada PRU-14. - UTUSAN ONLINE