Wee Ka Siong
WEE KA SIONG

Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong mahukan ahli-ahlinya bekerja keras dan bukan hanya bersandarkan keyakinan untuk memastikannya kembali kepada Barisan Nasional (BN).

"Ahli-ahli MCA perlu menunjukkan kesungguhan masing-masing bagi memastikan kemenangan kembali berpihak kepada kita. Keyakinan sahaja tidak cukup untuk mengembalikan kerusi itu.

"Parlimen Gelang Patah juga merupakan 10 kerusi yang paling diberi penekanan MCA sebelum menjelang PRU-14," katanya yang juga Pengerusi MCA Johor.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis menandatangani memorandum perjanjian persefahaman (MoU) Gemilang Coachwork Sdn. Bhd. dan Greenpower Motor Inc. di Jalan Seelong, di sini sebentar tadi.

Sabtu lalu, Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyatakan MCA akan bertanding bagi kerusi Parlimen Gelang Patah yang sebelum ini diwakili UMNO.

Reaksi Mohamed Khaled itu adalah selepas Penasihat DAP, Lim Kit Siang menyatakan hasratnya semasa berceramah di sini sehari sebelum itu untuk mempertahankan kerusi Parlimen berkenaan dalam PRU-14. - UTUSAN ONLINE