Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, SPR pastinya mempunyai sebab munasabah menetapkan tarikh tersebut meskipun pada hari bekerja dan jangan melibatkan kerajaan dalam soal itu.

Beliau berkata, seperti biasa, pembangkang tidak akan berpuas hati dan bagi mereka semuanya tidak betul termasuk dalam soal pemilihan tarikh pilihan raya ini.

“Kita mesti menghormati keputusan yang dibuat SPR ini (tetapkan 9 Mei tarikh pengundian PRU-14). Ini bukan perkara yang perlu dipolitikkan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Kolej Komuni Cawangan Kangar, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Prof. Datuk Dr. Mohd Ismail Abd. Aziz dan Ahli Parlimen Kangar, Ir. Shaharuddin Ismail.

SPR hari ini menetapkan 9 Mei depan sebagai tarikh pengundian bagi PRU-14 manakala, tarikh penamaan calon pula pada 28 April ini.

Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd. Hashim Abdullah berkata, tarikh 5 Mei pula diputuskan untuk hari pengundian awal dan tempoh berkempen untuk PRU-14 kali ini adalah selama 11 hari.

Mohd. Hashim berkata, sebanyak 14,940,624 pemilih layak mengundi pada PRU-14 kali ini berdasarkan daftar pemilih Suku Keempat 2017.

Tambah Idris yang juga Menteri Pendidikan Tinggi, beliau melihat sokongan pengundi kepada BN terus positif termasuk golongan muda yang diyakini tidak akan mudah terpengaruh dengan dakyah pembangkang.

Dalam masa sama, beliau juga menasihatkan seluruh pengundi supaya tidak takut untuk keluar menjalankan tanggungjawab mereka pada hari pengundian nanti.

“Insya-Allah kita akan memperolehi kemenangan besar pada pilihan raya nanti. Alhamdulilah, anak-anak muda sekarang juga banyak menyokong kerajaan,” katanya.- UTUSAN ONLINE