Tinjauan Utusan Malaysia di Pusat Pemilihan Cabang Alor Setar di Institut Pengurusan dan Integriti Negeri Kedah Darul Aman (INSPIN) mendapati proses pengundian yang pertama kali menggunakan sistem e-undi yang dijadual bermula pukul 10 pagi tadi terpaksa ditangguhkan kerana masalah tersebut.

Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR negeri, Ir. Zamri Yusof berkata, cabang Sungai Petani dan Kulim/Bandar Baharu telah diarahkan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) untuk menangguhkan proses pengundian.

“JPP telah mengarahkan dua cabang tersebut ditangguhkan sehingga dimaklumkan kelak disebabkan pelayan sistem e-undi yang digunakan tergendala.

“Di cabang Alor Setar, kita juga masih memulakan proses pengundian kerana masalah sama. Tapi kita sedang ‘restart’ sistem tersebut,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Zamri, setakat ini hanya Padang Serai, Padang Terap dan Kuala Kedah sahaja yang telah memulakan proses pengundian.

Dalam pada itu, katanya, ampir 50,000 ahli PKR di negeri ini layak mengundi bagi memilih Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan barisan kepimpinan peringkat cabang.

“Lebih kurang 2,000 calon bertanding untuk merebut jawatan ketua, timbalan ketua, naib ketua, ketua wanita, ketua AMK (Angkatan Muda Keadilan) di 15 cabang di negeri ini,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE