Tidak terkecuali dalam arena politik. Di Selangor, Barisan Nasional (BN) dan UMNO sudah tiga kali tewas pilihan raya umum. Jika dihitung dari segi penggal, ia memakan masa 15 tahun dan sejak 2008, tiada formula atau taktikal terbaik yang mampu menjelmakan kemenangan buat BN.

Pasca pilihan raya umum pula, UMNO Selangor sudah dua kali kalah kepada PKR dalam pilihan raya kecil (PRK). Parti itu kalah di Sungai Kandis dan turut tersungkur di Seri Setia. Balakong ditandingi MCA dan kali ini hadir pula Semenyih yang merupakan kerusi milik UMNO.

Sebagai parti politik tentu sekali UMNO negeri tidak rela tersungkur buat kali ketiga dalam PRK tetapi jika diukur kepada realiti ternyata sukar buat UMNO dan BN walaupun lawannya nanti bukan PKR tetapi Bersatu. Hakikatnya UMNO Selangor terlalu lemah ketika ini.

Di peringkat negeri UMNO hanya tinggal satu Ahli Parlimen dan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sahaja. Lebih memburukkan keadaan, UMNO negeri berdepan 1,001 masalah dengan paling utama tiada pemimpin berwibawa. Sekalipun Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memimpin ketika ini ia dilihat bukan jalan keluar.

Namun begitu, ia juga bukan bererti pintu kemenangan sudah tertutup buat UMNO. Pertandingan belum pun bermula lagi dan sebenarnya, masih ada cahaya dihujung terowong untuk kembali bangkit tetapi bagi mengapai maksud tersebut, UMNO negeri perlu kepada pengubahsuaian menyeluruh.

Formula lama sudah tidak boleh dipakai lagi terutama dalam memilih calon dan menggerakkan jentera parti. Adalah lebih baik formula pemilihan calon di Cameron Highland turut sama diaplikasikan di Semenyih. Istilah 'takut ada yang berkecil hati' sudah tidak relevan lagi.

Jika mahu menamatkan badi kekalahan, UMNO perlu berani. UMNO memerlukan calon yang mampu menghadirkan kemenangan kepada parti dan bukan lagi parti yang perlu memenangkan calon. Pemilihan calon perlu lebih pragmatik dan tidak semestinya dari kalangan bahagian.

Kini semuanya terpulang kepada kebijaksanaan UMNO. Jika sekadar menampilkan formula, taktikal serta pemain sama tetapi mengharapkan keputusan berbeza, ia umpama menunggu bulan jatuh ke riba. Kepada UMNO, tepuk dada tanyalah selera.

Keputusan PRU-14 N24 DUN Semenyih:
Mohd. Bakhtiar Mohd. Nor (PH) : 23,428 undi
Datuk Johan Abd. Aziz (BN) : 14,464 undi
Mad Shamour Mad Kosim (Pas) : 6,966 undi
S. Arutchelvan (PSM) : 1,293 undi