Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, kerusi Parlimen di Sabah itu secara tradisinya bukan kawasan yang ditandingi Pas selama ini.

Justeru, beliau berkata, pihaknya mengamalkam sikap tunggu dan lihat dahulu khususnya keputusan BN yang setakat ini juga belum bermesyuarat.

“Sandakan ini bukan kawasan kita, dan setakat ini kita belum ada keputusan mengenai Sandakan, malah BN pun belum ada keputusan lagi untuk bertanding atau tidak, jadi kita tunggu dan lihat sahaja.

“Kita tidak boleh menentukan sikap lagi memandangkan Sandakan bukan kawasan kita dari dahulu, UMNO pun tidak pernah bertanding di situ tetapi (parti komponen) dalam BN,” katanya selepas Majlis Solat Hajat dan Amanat Khas Hari Sayyidatina Khadijah (HSK) 2019 di Dewan Teratai, Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru-baru ini menetapkan tarikh pilihan raya bagi kerusi Parlimen Sandakan adalah pada 11 Mei manakala penamaan calon pula pada 27 April ini.

PRK Parlimen Sandakan diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Stephen Wong Tien Fatt dari DAP akibat serangan jantung pada 28 Mac lalu.

Semasa Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU-14), BN bertanding di kerusi itu menerusi calon, Datuk Lim Ming Hoo dari Parti Liberal Demokratik (LDP) bagaimanapun LDP kini sudah tidak lagi menjadi sebahagian parti komponennya.

Dalam pada itu, Mohd Amar berkata, peralihan sokongan kaum India yang membawa kepada kemenangan BN dalam PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Sabtu lalu adalah perkembangan yang baik untuk masa hadapan. - UTUSAN ONLINE