Jelasnya, dalam setiap PRK yang berlangsung, adalah penting untuk calon tempatan diketengahkan kerana tumpuan tentunya akan ke arah kawasan tersebut.

"Saya setuju untuk calon tempatan, kerana dalam PRK amat penting untuk kita meletakkan calon tempatan kerana tumpuan itu di situ sahaja.

"Jika pilihan raya umum (PRU) kita tidak khuatir sangat kerana orang sibuk dengan hal masing-masing tapi PRK ia tertumpu, jadi lebih baik kita dapatkan seorang calon tempatan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja rasmi ke Balai Bomba dan Penyelamat Semenyih, di sini hari ini.

Semalam, PKR Cabang Rembau telah membuat keputusan untuk menamakan hanya dua individu sebagai calon yang akan bertanding dalam PRK Rantau.

Ketuanya, R. Tanggam berkata, nama berkenaan ialah beliau sendiri dan Ketua Wanita cabang berkenaan, K. Bathmavathi yang juga merupakan isterinya.

Malah tambah Tanggam, Cabang Rembau juga mahukan anak jati di situ bertanding kerusi berkenaan.

Mengulas lanjut berkenaan perkara itu, jelas Zuraida, ahli di peringkat akar umbi mempunyai hak untuk bersuara dan mencadangkan calon yang mereka mahukan kepada peringkat kepemimpinan parti.

"Jadi parti harus menilai semua mereka yang berminat untuk menjadi calon dan dari situ kita buat pilihan," katanya.

Isnin lalu, Mahkamah Persekutuan telah membatalkan kemenangan Timbalan Presiden UMNO yang menjalankna tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk kerusi DUN Rantau pada PRU-14 lalu sekali gus PRK perlu diadakan. - UTUSAN ONLINE