Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, keputusan mengenai perkara tersebut bakal diumumkan selepas selesai mesyuarat berkenaan.

"Kita akan tengok laporan daripada Jabatan Pilihan Raya dan Pas Negeri Sembilan dahulu dan baharulah kita buat keputusan.

"InsyaAllah pagi Khamis dapat keputusan sama ada bertanding atau tidak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra dan Makan Malam Bersama Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan yang disempurnakan Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di Dewan Gamelan di Hotel Primula di sini malam ini.

Semalam Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan parti itu akan memboikot PRK Port Dickson yang dijangka diadakan pada 13 Oktober depan.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah pula menyifatkan PRK Port Dickson sebagai satu pilihan raya yang tidak perlu dilayan sama sekali oleh Pas atau parti pembangkang lain.

Beliau secara peribadi berpendapat Pas tidak mempunyai keperluan untuk bertanding dalam PRK tersebut yang sengaja diadakan demi memenuhi kehendak individu tertentu.

Dalam perkembangan sama, Abdul Hadi berkata, Pas akan melihat pelbagai aspek dan mengambil kira faktor antaranya berkaitan kekuatan parti lawan sebelum membuat keputusan untuk meletakkan calon.

"Sebabnya sudah ada parti yang buat kenyataan nak bertanding, jadi kita tengoklah kewajaran parti itu ada kekuatan atau tidak. Kita akan lihat pandangan semua pihak khususnya daripada parti kita sendiri," katanya.

Selain PKR, Parti Rakyat Malaysia (PRM) turut mengesahkan akan meletakkan calon bertanding di PRK berkenaan di samping personaliti media sosial, Stevie Chan Keng Leong yang turut menawarkan diri. - UTUSAN ONLINE