Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Othman Mahmood berkata, jika tiada sebarang masalah berlaku pihaknya akan mengumumkan keputusan tersebut lebih awal.

"Kami akan cuba umumkan keputusan itu tidak lewat sebelum pukul 10 malam. Kalau kami dapat awal, insya-Allah kami akan umumkan awal.

"Terpulang kepada keadaan esok, sekiranya tiada masalah, kami akan umumkan sebelum pukul 10 malam," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar meninjau proses semakan isi peti undi dan agihan peralatan mengundi kepada ketua tempat mengundi di Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson

Yang turut hadir, Setiausaha SPR, Mohamed Elias Abu Bakar.

Dalam pada itu, tambah Othman, seramai 68,317 pengundi bakal menunaikan tanggungjawab mereka di 32 pusat pengundian yang bakal dibuka esok.

"Pengundi dinasihatkan untuk keluar mengundi lebih awal dan tidak menunggu sehingga saat akhir kerana cuaca yang tidak menentu dan dijangka hujan pada sebelah petang.

"SPR juga meminta supaya pengundi dapat membuat semakan daftar pemilih mereka lebih awal sebelum keluar mengundi termasuk di portal rasmi SPR iaitu www.spr.gov.my," katanya. - UTUSAN ONLINE