Keyakinan itu disuarakan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga percaya bahawa peratusan keluar mengundi rendah merupakan petanda undi protes terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Pas menghormati keputusan rayat dalam PRK Seri Setia dan mengucapkan terima kasih kepada para pengundi di atas kepercayaan yang diberikan.

“Pas komited untuk terus memperjuangkan nasib rakyat dan sedia menjadi pembangkang yang menasihat serta bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak demi mewujudkan keamanan dan kesejahteraan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang disiarkan menerusi portal Harakah Daily hari ini.

Semalam, calon Pas bagi PRK DUN Seri Setia, Dr. Halimah Ali tewas kepada calon PH, Halimey Abu Bakar dengan majoriti 4,027 undi.

Bagaimanapun, jumlah majoriti yang diperolehi Halimey itu jauh berbeza dengan majoriti diperoleh penyandang kerusi berkenaan, Allahyarham Prof. Dr. Shaharuddin Badaruddin iaitu 29,250 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu. - UTUSAN ONLINE