Ketua Biro Integriti Armada, Dr. Muhammad Faiz Na’aman berkata,proses pengembalian wang tempahan dewan mereka dilihat rumit dan memakan masa tanpa ada sebarang ganti rugi.

Katanya, kesemua keluarga berkenaan hanya dijanjikan bayaran balik tempahan berkenaan sedangkan kad jemputan perkahwinan telah dicetak dan diedarkan kepada tetamu serta kesukaran untuk mencari dewan-dewan lain.

“Jadi, saya mewakili Biro Integriti Anti Rasuah dan Salah Guna Kuasa Armada Nasional memohon jasa baik pihak Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan SPR agar memperhalusi mekanisme pemilihan tempat penamaan calon PRK DUN Semenyih tersebut supaya mereka yang menempah dewan itu lebih awal mendapat pembelaan yang sewajarnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau turut mendapat aduan daripada seorang bapa berketurunan India yang mewakili keluarganya termasuk beberapa keluarga lain yang telah menempah Dewan Serbaguna Seri Cempaka untuk majlis perkahwinan anaknya yang akan berlangsung dalam bulan depan.

“Mereka berasa kecewa kerana tempahan dibatalkan apabila pihak MPKj mahu menyediakan dewan tersebut untuk kegunaan SPR bagi menghadapi PRK DUN Semenyih hujung Februari ini,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE