Namun hakikatnya, strawberi, kebun teh, sayur dan bunga hanyalah wajah Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanah Rata yang merupakan satu daripada dua DUN yang membentuk Parlimen Cameron Highlands.

Satu lagi DUN ialah Jelai yang mana sawit dan getah merupakan produk utama penduduk yang kini berdepan kemerosotan harga teruk, tidak seperti strawberi dan teh yang sudah menjadi ikon di DUN jirannya.

Maka tidak hairan DAP bergelut di DUN Jelai berbanding DUN Tanah Rata yang masih indah buat mereka seperti mana cantiknya poskad Cameron Highlands yang dijual di pekan Brinchang.

Malam tadi berlangsung ceramah besar Pakatan Harapan (PH) di DUN Jelai dan program mega DAP bersama parti Melayu dalam PH pastinya terus menyusul bagi mendapatkan sokongan orang Melayu yang membentuk dua pertiga pengundi di DUN itu.

Laluannya bagaimanapun berliku buat PH walaupun Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sendiri berkempen di DUN Jelai. Barisan Nasional (BN) kukuh di kerusi itu apatah lagi ramai pengundi datangnya dari tanah rancangan Felda seperti Sungai Koyan.

DAP sedar undi di DUN Jelai cukup kritikal tambahan pula Pas sudah menyeru ahlinya memberi sokongan kepada calon BN. Daripada 10,000 yang mengundi di DUN Jelai pada Pilihan Raya Umum-14 (PRU-14), BN dan Pas memperoleh kira-kira 80 peratus undi.

Sekarang sudahlah harga sawit dan getah merudum bahkan kebajikan peneroka juga kurang terbela. Janji hapus hutang peneroka pun tinggal di alat pembesar suara masa kempen PRU lalu.

Esok pula Datuk Seri Najib Tun Razak berkempen di Jelai. Orang Kuala Lumpur boleh kata apa sahaja, tetapi pada warga Jelai khususnya Felda, mereka kenang nikmat ketika era Perdana Menteri keenam. Najib ‘kesayangan’ mereka nak-nak lagi dalam keadaan sekarang.

DAP tahu kesannya dan sebab itu ada pemimpin utama mereka berpeluh satu macam terhadap kehadiran Najib walaupun cuaca Cameron Highlands tetap nyaman.

Namun elok juga Guan Eng luang lebih masa di Jelai, boleh dengar sendiri rintihan peneroka moga Kementerian Kewangan lembut hati pada nasib orang kampung seperti mana pemurahnya Putrajaya pada sekolah dan kolej persendirian tertentu.-UTUSAN ONLINE