BASTIEN ONN
BASTIEN ONN 

Exco Pemuda UMNO, Bastien Onn berkata, politik wang menyebabkan Barisan Nasional (BN) kehilangan kerusi tersebut yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan itu 
bukan sahaja menjadi pengajaran kepada BN, malah semua yang bertanding pada PRK itu 26 Januari ini.


“Petisyen yang dibawa Pakatan Harapan (Harapan) ke Mahkamah Pilihan Raya sebelum ini memberi ruang untuk semua pihak supaya tidak mengulangi kesalahan serupa. Ini telah menjadi 
pengajaran kepada BN, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya kepada Pakatan Harapan (PH).


“Persoalannya, apakah yang ingin ditegakkan apabila PH yang sebelum ini kononnya membantah politik wang pula mengulangi perkara yang sama, namun tidak menjadi suatu kesalahan pula 
pada kali ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.


Baru-baru ini, tular gambar seorang wanita memakai baju Harapan dalam media sosial didakwa cuba merasuah Orang Asli di Cameron Highlands dengan memberikan wang tunai kepada mereka.


Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Segamat menggesa pengundi di Cameron Highlands menggunakan peluang semasa PRK ini untuk menghakimi kerajaan PH menerusi peti-peti undi.


Katanya, kuasa rakyat yang bebas harus mengatasi kuasa mahkamah yang diputuskan sebelum ini untuk menjadi alat PH menambah kerusi di Parlimen dan pengundi Cameron Highlands harus menolak calon PH.


“BN sudah menerima hukuman mahkamah dengan hati terbuka sekali gus menerima apa yang terjadi sebagai satu pengajaran. Sekarang sudah tiba masanya calon PH ini menerima 
penghakiman rakyat dan membuktikan bahawa kuasa rakyat boleh mengatasi keputusan mahkamah.


“Pengundi Cameron Highlands mempunyai ruang membuktikan kenyataan ini dan kita juga tidak mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersikap tidak adil kerana memang terdapat bukti jelas 
kempen calon Harapan ini dicemari dengan politik wang,” katanya. - UTUSAN ONLINE