Calon MCA, Tan Chee Teong berkata, beliau menerima sebarang keputusan yang dibuat oleh pengundi DUN Balakong esok namun beliau tetap mahu memastikan para pengundi memilih calon yang terbaik.

Disebabkan itu, katanya, beliau sering menekankan bahawa PRK kali ini bukan untuk memilih kerajaan sebaliknya melantik seorang wakil rakyat yang sentiasa mendengar luahan penduduk tempatan dan menangani masalah yang dihadapi mereka.

“Tidak kisahlah siapa yang akan menang nanti, saya pun hanya calon ‘underdog’ (bukan pilihan), tapi prinsip saya, kalau kalah pun biar kalah dengan cantik, menang pun biar menang dengan betul.

“Esok adalah hari mengundi, jadi tidak kira pengundi sokong siapa, saya harap rakyat dapat keluar mengundi, pilih calon paling sesuai antara saya dan Wong Siew Ki, siapa yang lebih sesuai untuk semak dan imbang, itu yang penting,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengadakan sesi bertemu pengundi Balakong di Kampung Baru Batu 11, Cheras, di sini, hari ini.

Pada masa yang sama, calon Pakatan Harapan, Wong Siew Ki yang juga bertemu dengan pengundi mengharapkan segala titik peluhnya sepanjang berkempen membuahkan hasil dan berharap rakyat akan terus memberi mandat kepada calon daripada kerajaan Pakatan Harapan.

“Bagi saya, logo Pakatan Harapan beri satu kelebihan dalam kempen ini sebab sebelum ini kita tak boleh nak daftar logo ini, tapi sekarang kita boleh guna dan rakyat begitu mudah menerimanya, ini satu perkara yang positif.

“Saya yakin hasil kerja yang ditunjukkan oleh pasukan di bawah bekas ADUN Balakong, mendiang Eddie Ng Tian Chee dapat diteruskan, ini menerusi manifesto malah demi nama baik Pakatan Harapan yang membawa harapan baharu, rakyat akan terus yakin kepada kita, jadi silalah keluar mengundi dan sama-sama kita bina Balakong yang baharu,” katanya. - UTUSAN ONLINE