Hakikatnya, Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengeluarkan perintah pembubaran sementara itu baru-baru ini kerana kegagalan PPBM mengadakan mesyuarat agung dan menyerahkan semua butiran maklumat dan dokumen yang diminta ROS.

Kelemahan itu turut diakui oleh pimpinan tertinggi PPBM termasuk bekas pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Tanpa mengambil kira fakta itu, Presiden PAN, Mohamad Sabu menggunakan isu pembubaran sementara itu sebagai modal menyerang Perdana Menteri dalam ceramah gabungan pembangkang PKR yang dianggotai DAP, PPBM, PKR dan PAN malam tadi.

Mohamad menyifatkan keputusan ROS itu sebagai perbuatan pengecut yang didalangi oleh Najib bagi menghalang PPBM dan gabungan pembangkang daripada bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Ketika itu apabila Dr. Mahathir panggil pimpinan tertinggi (gabungan pembangkang) dan beritahu Pakatan Harapan sudah tamat sebab PPBM diharamkan, kami terkejut.

“Saya dengar dia (Najib) berdarah pahlawan Bugis, tapi ada tempat dia takut. PPBM yang sudah setahun berdaftar tetapi diharamkan satu hari sebelum Parlimen dibubarkan,” katanya ketika berucap dalam Jelajah Felda Selamatkan Malaysia di Air Mawang, Johol di sini malam tadi.

Yang turut hadir Dr. Mahathir; Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Setiausaha PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Pada 5 April lalu, ROS mengeluarkan perintah pembubaran sementara terhadap PPBM mengikut Seksyen 14 (5) Akta Pertubuhan 1966 kerana gagal memenuhi tuntutan menyerahkan dokumen yang dikehendaki.

Sementara itu, Saifuddin seolah-olah memberi amaran bahawa PKR merupakan parti paling ‘berkuasa’ dalam gabungan pembangkang kerana mereka menggunakan logo parti itu dalam PRU-14 dan semua watikah calon perlu ditandatangani Wan Azizah.

“Kak Wan (Wan Azizah) kini menjadi orang penting kerana watikah calon perlukan tandatangannya. Saya hanya mempersiapkan watikah tetapi jika tiada tandatangan daripada Presiden PKR, maka tidak sah,” katanya. - UTUSAN ONLINE