Menurut satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatan, Lim Guan Eng dan Presi­den PAN, Mohamad Sabu, sekretariat Pakatan Harapan akan me­ngutus surat kepada PPBM untuk memaklumkan perkara tersebut.

“Majlis Presiden Pakatan Harapan yang bermesyuarat hari ini setuju sebulat suara menerima PPBM sebagai anggota pakatan.

“Majlis Presiden Pakatan Harapan juga akan mendaftarkan gabungan berkenaan dan keempat-empat parti akan segera merangka manifesto dan mewujudkan logo baharu,” kata kenyataan itu hari ini.­

Sebelum ini Dr. Mahathir dikritik kerana menjalinkan kerjasama dengan DAP yang dahulunya meru­pakan musuh politiknya.

Malah, bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim mendakwa wujud pakatan sulit antara Dr. Mahathir dan Kit Siang berhubung siapa yang bakal menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri jika pakatan pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Dakwa Tunku Abdul Aziz, tanpa pengetahuan parti-parti sekutu lain te­rutama PKR, ke­dua-dua pe­mimpin itu membuat perjanjian rahsia untuk melantik Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Perdana Menteri manakala Kit Siang pula sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Sehingga kini cabaran Tunku Abdul Aziz supaya Kit Siang me­lakukan akuan bersumpah bagi menafikan perkara tersebut tidak dijawab oleh Kit Siang.