Ketua Pengarahnya, Surayati Ibrahim berkata, PPBM telah dimaklumkan mengenai pembu­baran sementara itu yang berkuat kuasa hari ini melalui satu notis mengikut Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan 1966 yang dialamatkan kepada Setiausaha Agung parti berkenaan.

Beliau berkata, PPBM sebelum ini gagal menjawab dan menye­rahkan segala maklumat dan dokumen terperinci kepada ROS seperti yang dinyatakan dalam perintah menerusi notis statutori di bawah Seksyen 14 (2) Akta Pertubuhan 1966 yang bertarikh 28 Februari lalu.

“Oleh yang demikian, saya sebagai Pendaftar Pertubuhan telah mengambil tindakan lanjut me­nurut Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan 1966 iaitu mengeluarkan satu perintah pembubaran sementara ke atas PPBM,” katanya dalam sidang akhbar berhubung status PPBM di sini hari ini.

Menurut Surayati, sekiranya PPBM menyerahkan maklumat dan dokumen seperti diperintahkan di dalam notis Seksyen 14(2) dalam tempoh tidak lebih daripada 30 hari dari tarikh perintah pembubaran sementara itu dikeluarkan, ROS boleh membatalkan pembubaran sementara itu.

Katanya, selepas tempoh 30 hari dari tarikh perintah pembubaran sementara dikeluarkan atau sekiranya ada rayuan selepas tarikh berkenaan atau jika rayuan itu ditolak, maka perintah pembubaran sementara itu akan menjadi mutlak dan PPBM dibatalkan pendaftarannya.

“Notis 14 (2) merujuk kepada perkara yang diarahkan oleh ROS untuk PPBM mengemukakan minit-minit mesyuarat cawangan, bahagian dan pusat serta perihal penyata kewangan parti. Notis itu dikeluarkan kerana terdapat aduan yang telah dikemukakan oleh ahli-ahli parti itu sendiri.

“Pembubaran sementara ini membawa maksud PPBM tidak dibenarkan menganjurkan sebarang aktiviti buat masa sekarang termasuk penggunaan logo dan nama parti. Berhubung pilihan raya umum, jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meminta maklumat kita akan memberikan kerjasama,” katanya.

Menjawab soalan mengenai masalah yang membelenggu PPBM, Surayati berkata, parti itu berhadapan masalah kelemahan pentadbiran dan bantahan daripada ahlinya sendiri apabila sehingga kini sebanyak 428 aduan telah diterima berhubung pelbagai masalah dalaman.

“Kita menerima pelbagai aduan daripada ahli PPBM termasuk dalam soal tadbir urus, tidak berpuas hati dengan cara parti me­ngendalikan mesyuarat-mesyuarat serta ada dokumen-dokumen yang sepatutnya (diedarkan) tidak diedarkan kepada ahli serta kepemimpinan tertinggi gagal memberikan penerangan kepada ahli,” katanya.

“Isu penggunaan istilah Armada juga dibangkitkan oleh ahli PPBM, perkara itu dilihat tidak menghormati Akta Pertubuhan kerana menurut perlembagaan parti itu sebarang pindaan perlu mendapat persetujuan dua pertiga daripada perwakilan yang hadir dalam perhimpunan agung tahunan,” katanya.

Mengulas mengenai status pendaftaran Pakatan Harapan yang diketuai DAP selepas pembubaran sementara PPBM, Sura­yati berkata, buat masa ini permohonan untuk mendaftarkan Pakatan Harapan itu tidak dapat diteruskan atau diproses.

Dalam pada itu, katanya, segala keputusan dan tindakan yang diambil oleh ROS berdasarkan fakta dan akta yang telah ditetapkan sekali gus menafikan jabatan itu dipengaruhi oleh mana-mana pihak termasuk parti politik dalam apa jua keputusan yang dikeluarkan.