Kehadiran Najib di Laman Media yang terletak di Aras 4, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada pukul 4.45 petang itu menyebabkan warga media tidak melepaskan peluang untuk berswafoto bersama beliau selain meminta Perdana Menteri menandatangan beberapa cenderahati.

Perdana menteri kelihatan begitu ‘sporting’ melayan kerenah media untuk bergambar di hampir setiap organisasi yang dilawati beliau.

Ketika ditemui pemberita, Najib berkata, persidangan hari ini disifatkan sebagai luar biasa dengan para perwakilan dilihat mengikuti setiap perbahasan dan ucapan pemimpin terlibat.

“Ini satu gambaran yang sa­ngat memberangsangkan, bahawa pemimpin akar umbi sangat minat perjalanan perhimpunan agung ini,” katanya.

Ditanya berhubung lima seruan dan semboyan, perang penentu kemenangan UMNO dalam pilihan raya umum akan datang yang diketengahkan beliau pada ucapan dasarnya semalam, Najib berkata, beliau berharap perwakilan menghayati ucapannya itu.

“Saya harap mereka menjadikannya sebagai bekalan dan azimat untuk mereka sematkan dalam hati sanubari sebab kita memerlukan bukan sahaja pejuang-pejuang kita yang bersemangat tetapi mereka juga mereka mesti mempunyai ilmu dan tahu gerak kerja untuk mencapai kejayaan yang lebih besar,” katanya.