Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, selain demografi penduduk yang tidak seimbang dalam politik, tambah menyukarkan lagi bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad yang baharu kembali semula ke tampuk pemerintahan, apabila sudah mahu diganti.

"Memerintah (dalam keadaan) yang tidak seimbang dengan demografi penduduk menjadi suatu cabaran yang besar, tidak mudah Perdana Menteri nak pimpin negara sebegini rupa di samping ada orang nak cepat jadi Perdana Menteri.

"Ini suasana yang patut difikirkan bagaimana nak tangani masalah yang unik ini. Pas tak fikir nak Perdana Menteri, sudah cukup perintah Terengganu dan Kelantan tetapi bagaimana nak tangani majoriti umat Islam yang perlu dihormati oleh semua pihak," ujarnya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas Terengganu di Dewan Majlis Daerah, di sini hari ini.

Katanya, dalam keadaan Pakatan Harapan menguasai kerajaan Pusat tetapi yang menerajui kerajaan di negeri-negeri terdiri daripada parti-parti berlainan yang mungkin mempunyai hasrat berbeza.

Beliau turut menarik perhatian, meskipun 65 peratus penduduk di negara ini beragama Islam tetapi sebenarnya bukan Islam yang menguasai kerajaan Pusat dengan majoriti mudah berdasarkan jumlah keseluruhan kerusi Parlimen yang dimenangi.

Menurut beliau, kira-kira 90 peratus pengundi bukan Islam memilih Pakatan Harapan manakala 30 peratus anak peratus anak muda turut membantu mencorakkan keadaan yang wujud kini.

Beliau menegaskan pemikiran anak-anak muda perlu diperbetulkan dengan pendekatan agama termasuk dalam berpolitik agar tidak membiarkan kuasa politik terlepas kepada bukan Islam tanpa mengira kesannya kelak. - UTUSAN ONLINE