Asrul Nizan Abd. Jalil
Asrul Nizan Abd. Jalil

Keyakinan itu disuarakan oleh calon Ketua Cabang PKR Arau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena, Asrul Nizan Abd. Jalil berdasarkan kecenderungan dan sokongan lebih 6,000 ahli parti itu di Perlis kepada pemimpin-pemimpin daripada kem Rafizi Ramli.

Selain Asrul Nizan di Arau, antara calon lain daripada pasukan reformasi 20 tahun khususnya bagi jawatan Ketua Cabang PKR Kangar serta Padang Besar iaitu

Noor Amin Ahmad dan Amran Kamarudin dijangka tidak menghadapi masalah untuk menang sekali gus bakal melihat dominasi daripada kem Rafizi di Perlis.

Malah Pengerusi PKR negeri, Mohammad Faisol Abd. Rahman yang berada di dalam kem Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dijangka menghadapi cabaran sukar untuk mempertahankan jawatan meskipun pada pemilihan kali ini hanya memilih untuk bertanding jawatan Timbalan Ketua Cabang PKR Arau.

Asrul Nizan berkata, daripada pemerhatian khususnya di peringkat akar umbi mendapati calon-calon daripada pasukan Rafizi mendahului daripada segi sokongan dan momentum itu dijangka berterusan menjelang hari pemilihan.

Malah katanya, sokongan itu bertambah kuat selepas Rafizi yang bakal menentang Mohamed Azmin bagi merebut jawatan Timbalan Presiden PKR itu datang ke negeri ini dalam satu majlis baru-baru ini.

Kata Asrul Nizan, kedatangan Rafizi bagi memberi penerangan mengenai matlamat dan visinya jika diberi peluang bergandingan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim ternyata memberi keyakinan kepada ahli untuk memilih bekas Ahli Parlimen Pandan itu memegang jawatan nombor dua parti selain calon-calon daripada pasukannya.

“Malah di dalam buku ketiga peguam Australia dan Queen’s Coulsel, Mark Trowell berjudul Anwar Returns: The Final Twist, Anwar ada menyebut bahawa orang seperti Rafizi sesuai menjadi penggantinya dan itu adalah antara petanda bahawa Rafizi merupakan calon paling sesuai memegang jawatan sebagai Timbalan Presiden,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.- UTUSAN ONLINE