Timbalan Pengerusi PKR negeri, M. Ravi berkata, ini kerana Timbalan Presiden UMNO itu merupakan calon yang dianggap boleh memberikan tentangan sengit kepada Anwar.

"Anwar merupakan seorang lagenda politik tanah air dan mempunyai kredibiliti tersendiri. Seharusnya beliau bertanding dengan seseorang yang mampu memberi cabaran setanding kepadanya.

"Sehubungan itu, saya mencabar BN dan UMNO untuk meletakkan Mohamad sebagai pencabar kepada beliau dan bukannya pemimpin lain termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi, Datuk Abdul Rahman Mohd. Redza," katanya dalam sidang akhbar selepas menyokong pencalonan Anwar, di sini semalam.

Ravi yang merupakan ADUN Sri Tanjung mengulas calon paling sesuai bertanding menentang Anwar dalam PRK Parlimen Port Dickson selepas penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi itu baru-baru ini.

Beberapa pihak sebelum ini menyifatkan Mohamad sebagai calon terbaik BN, manakala Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin beranggapan Abdul Rahman wajar diberi peluang kerana prestasi dan latar belakangnya yang baik.

Sementara itu, Ravi yang juga Timbalan Speaker DUN berkata, isu Anwar bukan orang tempatan tidak akan menjejaskan peluangnya kerana pengundi telah bijak membuat keputusan.

"Ramai ahli Parlimen bukan dalam kalangan orang tempatan. Begitu juga Danyal Balagopal bukannya berasal dari Port Dickson, tetapi beliau menang dengan majoriti besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-14," katanya. - UTUSAN ONLINE