Ketua Penerangan PKR Cabang Lubok Antu, Mohamad Hanif Tay Abdullah berkata, tindakan mencurigakan Jugah yang merupakan bekas ahli Parti Rakyat Sarawak (PRS) iaitu komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) jelas dilihat apabila beliau menubuhkan sebuah lagi pusat khidmat PKR untuk kawasan Parlimennya.

Katanya, pembukaan pusat khidmat yang juga milik bekas Ahli Parlimen terdahulu, Datuk William Nyalau Badak itu sekali gus menggambarkan bahawa beliau bukannya menyertai PH secara ikhlas dan sukarela seperti dinyatakan sebelum ini.

“Banyak pesepsi negatif timbul daripada penyokong lama PKR termasuk menganggap Ahli Parlimen Lubok Antu itu menyertai PH kerana terpaksa bukan dengan rela hati,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Hanif mendakwa, Jugah juga dilihat seolah-olah cuba mengumpul kumpulan penyokong sendiri, tanpa mengambil berat terhadap ahli-ahli PKR yang lain.

Dakwanya, Ahli Parlimen terbabit sering dilihat bersama penyokong dalam kalangan ahli-ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang juga bekas parti komponen BN Sarawak yang kini dikenali sebagai Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Katanya, Jugah dlihat lebih mengutamakan para penyokong daripada parti pembangkang itu berbanding ahli-ahli Cabang PKR Lubok Antu.

“Selain itu, Ahli Parlimen terbabit telah menubuhkan Ahli Jawatankuasa (AJK) PKR yang baharu tanpa disedari oleh AJK yang sah atau dilantik oleh penyokong PKR lain. 


“Tindakan beliau telah mewujudkan perpecahan sokongan akibat wujud dua pasukan atau kem dalam PKR Lubok Antu iaitu kumpulan ahli PKR lama dan baharu,” ujarnya.

Mohamad Hanif berkata, keadaan itu jika dibiarkan akan menyebabkan pecahan undi daripada penduduk kawasan Parlimen berkenaan, sekali gus memberi kelebihan kepada GPS menjelang Pilihan Raya Negeri akan datang.

Jugah memenangi Parlimen Lubok Antu pada PRU-14 atas tiket Bebas mengalahkan dua pencabarnya iaitu Robert Pasang Alam (BN) dan Nicholas Bawin Anggat (PKR).

Pada 14 Mei lalu, beliau memilih menyertai PKR kerana alasan yakin parti itu merupakan landasan terbaik untuknya memperjuangkan suara rakyat.-UTUSAN ONLINE