Pengerusi Majlis Pimpinan Negerinya (MPN), Datuk Johari Abdul berkata, seharusnya perjanjian berhubung perkara berkenaan yang dibuat oleh kepemimpinan parti dalam Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, dihormati.

Katanya, beliau juga percaya bahawa Anwar mampu menggalas tugas Perdana Menteri seperti keyakinan dinyatakan ketika ditemu ramah oleh Bloomberg Television kelmarin.

“Saya yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad bersetuju (berpegang pada janji) dengan keputusan dibuat oleh PH sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

“Dalam kes ini, Tun Mahathir pun faham dan Anwar pun sama-sama faham. Kita harap perjanjian yang lalu dihormati untuk kebaikan bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Boling Persabahatan Antara Ketua-Ketua Jabatan Daerah Kuala Muda anjuran Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sungai Petani di Sejati Bowl Taman Sejati di sini, semalam.

Yang turut hadir Pengarah Kastam Negeri, Datuk Johari Alifiah dan Pegawai Daerah Kuala Muda, Md. Nordin Yahya.

Dalam pada itu, Johari yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani meminta semua pihak tidak melayan mana-mana individu yang cuba melaga-lagakan Anwar dan Dr. Mahathir.

Berhubung kemasukan bekas ahli Parlimen UMNO ke dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Johari mempersoalkan sama ada langkah itu untuk memperkuatkan Bersatu.

“Biasanya, pemimpin PH tidak akan terima ahli Parlimen berkenaan kecuali dipersetujui bersama.

“Saya sendiri pun tidak tahu sama ada tindakannya itu untuk mengemaskan kedudukan Bersatu... Hanya Dr. Mahathir yang boleh jawab mengenai perkara ini,” kata Johari lagi. - UTUSAN ONLINE