Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam reaksinya mengenai perkembangan tersebut mula mengambil sikap berhati-hati apabila menasihatkan semua parti pembangkang termasuk Pas supaya terus kekal misi perubahan serta formula satu lawan satu untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sebagai keutamaan.

"Pendirian PKR tidak berubah (kekal tahaluf siyasi dengan Pas serta formula satu lawan satu). Semua parti (pembangkang) kena letakkan kepentingan negara sebagai keutamaan.

"Proses ini memerlukan kekuatan kepimpinan daripada semua parti," katanya selepas menghadiri perhimpunan bulanan kakitangan awam negeri di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Desakan akar umbi Pas mahu membatalkan tahaluf siyasi dengan PKR dilihat semakin memuncak ketika ini selepas Dewan Pemuda Pas kawasan Tumpat, Kelantan dilaporkan sebulat suara meluluskan usul tergempar mengenai perkara itu dalam mesyuaratnya malam kelmarin.

Selain itu, pendirian yang sama turut diputuskan oleh Pas kawasan Permatang Pauh, Pulau Pinang semalam apabila Yang Dipertuanya, Omar Hassan menegaskan bahawa pihaknya telah memberi masa yang cukup kepada PKR, namun sehingga kini parti itu tetap bekerjasama dengan DAP dan PAN.

Menurutnya, PKR juga telah mengkhianati Pas ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, Perak dan Parlimen Sungai Besar di sini, masing-masing pada tahun lalu.

Malah, Pas kawasan Bayan Baru, Pulau Pinang turut mengambil ketetapan yang sama apabila Yang Dipertuanya, Iszuree Ibrahim dilapor menyifatkan PKR telah membelakangkan Pas ketika masih bekerjasama dalam pembangkang di negeri itu.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin ketika ditanya sama ada PKR sememangnya telah bersedia tidak mempunyai hubungan dengan Pas memberitahu, perkara itu bukan atas kehendak pihaknya.

"Kita tidak pernah putuskan hubungan dengan mana-mana pihak. Mengenai masa depan hubungan PKR dengan Pas, saya serahkan kepada kebijaksanaan pimpinan Pas untuk menentukannya dalam muktamar parti itu nanti," ujarnya. - UTUSAN ONLINE