Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata, ini sejajar dengan dasar PPBM yang mana segala permohonan untuk menjadi ahli parti itu akan diproses dan ditentukan oleh majlis pimpinan tertinggi parti dan bukannya diputuskan di peringkat negeri.

Katanya, beliau tidak pasti sama ada Noor Azmi mahu menyertai mana-mana parti baharu setelah mengumumkan keluar UMNO dan Barisan Nasional (BN) hari ini.

“Saya tidak bercakap mengenai Noor Azmi sahaja tetapi bagi PPBM Perak, jika sesiapa yang memohon untuk menjadi ahli, kami akan serahkan kepada pucuk pimpinan untuk terima atau tolak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Tambun Berhari Raya Bersama Pemimpin Pakatan Harapan di Tanjung Rambutan dekat sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai Noor Azmi yang dikatakan berhasrat untuk menyertai PPBM setelah mengumumkan keluar UMNO dan BN.

Noor Azmi kini menjadi wakil rakyat bebas dan mengumumkan menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan kerajaan Pakatan Harapan termasuk Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar.

Ahmad Faizal yang juga Pengerusi PPBM Perak turut mengucapkan terima kasih dan bersyukur di atas sokongan yang dinyatakan Noor Azmi kepadanya dan Pakatan Harapan.

“Saya tidak pernah berhubung dengan Noor Azmi dan percaya keputusannya keluar UMNO dan BN merupakan keputusan beliau sendiri,” katanya. - UTUSAN ONLINE