Ketua Penerangan UMNO, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, kebangkitan parti tidak terletak hanya di satu pihak sahaja tetapi semua pimpinan dan ahli di peringkat pusat atau negeri perlu memainkan peranan di kedudukan masing-masing.

“Ketika ini kita sedang bersiap untuk melaksanakan Perhimpunan Agung UMNO 2018 pada penghujung bulan ini. Perhimpunan ini, bukan di suasana sebagaimana kita masih sebuah kerajaan. Pastinya Presiden UMNO akan menyampaikan amanat penting dalam Ucapan Dasar beliau. Saya percaya, pelbagai pihak yang menanti dan ingin mendapat gambaran jelas apakah hala tuju parti.

“Saya harap kita memberikan peluang kepada Presiden dan pucuk pimpinan UMNO untuk melakukannya,” katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin.

Beliau turut mengingatkan ahli-ahli supaya tidak terpengaruh dengan usaha-usaha pihak tertentu untuk memecahbelahkan pimpinan dan parti dan bersatu padu dalam apa juga keadaan.

“Kita harus sedar bahawa usaha-usaha pihak tertentu sedang dilakukan untuk terus memecahbelahkan pimpinan dan parti kita. Perkara ini bukan hanya di peringkat tertentu sahaja ia juga di akar umbi parti. Oeh itu, kita jangan terperangkap dengan strategi yang mereka lakukan,” katanya. - UTUSAN ONLINE