KO CHU LIANG
KO CHU LIANG

Beliau yang juga penyandang Ketua Cabang PKR Kangar berkata, pemimpin berpengalaman seperti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sudah terbukti kemampuannya sama ada di dalam parti mahu pun kerajaan.

Malah katanya, Mohamed Azmin juga adalah seorang pemimpin yang tenang tetapi dalam masa sama kuat bekerja dan perkara itu jauh berbeza dengan segelintir pemimpin parti berkenaan yang gelojoh.

“Kita tidak nafikan Rafizi Ramli bagus, namun beliau masih muda dan mempunyai banyak lagi peluang pada masa depan.

“Perlu diingat yang orang lama (di dalam pasukan Mohamed Azmin) ini adalah mereka yang setia meskipun PKR pernah mengalami kekalahan teruk sebelum ini (pilihan raya 2004) dan pemimpin-pemimpin ini terus setia sehingga menjadi kerajaan pada hari ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi menggesa ahli-ahli PKR memilih pemimpin yang mempunyai kuasa eksekutif di dalam kerajaan dan bukannya memilih penganggur.

Timbalan Presiden PKR itu dilaporkan berkata, ahli parti juga perlu memilih pemimpin yang umpama diam-diam berisi dan bukannya tin kosong yang gemar membuat tuduhan tetapi tidak berisi.

Mohamed Azmin akan dicabar Rafizi bagi jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti itu yang dijadualkan bermula 14 September hingga 13 Oktober ini.

Manakala Anwar sebelum ini menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR sekali gus mengambil alih jawatan daripada isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Sementara itu, Chu Liang yang bakal mempertahankan jawatan Ketua Cabang PKR Kangar pada pemilihan parti berkenaan yakin calon-calon berpengalaman daripada pasukan Mohamed Azmin akan menang di semua tiga cabang di negeri ini.

Katanya, meskipun calon-calon daripada pasukan Rafizi yang kebanyakannya terdiri daripada wakil rakyat terus agresif untuk menguasai kepemimpinan PKR di Perlis, namun beliau percaya ahli-ahli bijak membuat pilihan. - UTUSAN ONLINE