Perdana Menteri berkata, pembentukan sebuah negara bangsa yang diidamkan rakyat tidak boleh terbina dengan penilaian berdasarkan andaian, fitnah dan hasutan yang semakin menyelubungi suasana Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Menurut beliau, ‘tsunami fitnah’ semakin kencang melanda kini dengan serangan yang memburukkan kerajaan dan peribadi para pemimpin.

“Saya ingin menasihatkan yang kita tidak boleh membina masa depan sebuah negara bangsa berdasarkan kepada hasutan mahu pun serangan peribadi.

“Yang sepatutnya kita tentukan, siapakah yang ada agenda yang terbaik untuk negara kita dan siapakah yang akan menentukan kehidupan kita akan bertambah lebih baik dan mana satu pihak yang boleh bawa negara kita cinta ke mercu kejayaan yang boleh kita banggakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Terengganu di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Tan Sri Ahmad Zaki Ansore Mohd. Yusof dan Pegawai Kewangan negeri, Datuk A. Rahman Yahya.

Najib yang juga Pengerusi BN menambah, semua kriteria tersebut seharusnya dijadikan asas untuk memupuk kematangan pe­ngundi dalam membuat pilihan yang bijak pada 9 Mei ini.

Beliau memberitahu, dengan perancangan yang tersusun dan berkesan, kebajikan rakyat sentiasa terbela manakala kemudahan dan keselesaan mereka sentiasa dipertingkatkan dengan mengambil contoh kewujudan rangkaian UTC di seluruh negara yang tidak mampu dilakukan oleh negara-negara lain.

Najib berkata, pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dipertingkatkan kepada RM2,000 dan pelbagai insentif lain bagi segenap lapisan masyarakat termasuk nelayan, pesawah dan penjawat awam serta projek iko­nik, Landasan Rel Pantai Timur (ECRL) yang akan membuka lembaran baharu bagi rakyat.

“Jadi siapa kata kita tak jaga kebajikan rakyat? Siapa kata kita ini negara bankrap? Siapa kata kita negara gagal? Siapa kata BN tak dapat sambutan daripada rakyat? Jadi tuan puan sekalian, saya sebut perkara ini mudah-mudahan tuan-tuan semua akan buat keputusan yang penuh de­ngan kebijaksanaan.

“Maknanya kita utamakan siapa yang boleh memberi manfaat lebih kepada kita dan siapa boleh membawa negara kita ke hadapan dan kejayaan meletakkan kita di barisan sebaris de­ngan negara yang lebih maju pada masa ini tetapi kita boleh pintas mereka, insya-Allah,” ujarnya.