Bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, hal itu (tujuan penajaan) perlu diperjelaskan kerajaan.

Katanya, pada zamannya sewaktu berada dalam kerajaan terdahulu, tajaan itu tidak diperincikan sehingga ke peringkat menteri.

“Orang yang membiayai lawatan itu mempunyai kepentingan. Itu mesti diperjelaskan.

“Sama ada betul atau tidak (kerajaan terdahulu menerima tajaan syarikat loteri), secara peribadi, saya tidak tahu. Kalau betul, saya rasa ia tidak kena,” katanya kepada pemberita ketika melawat Pasar Malam Jenaris, Kajang di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang mendakwa tajaan lawatan daripada Lembaga Totalisator Malaysia berlaku sejak kerajaan terdahulu.

Tambah Hishammuddin, kerajaan PH tidak wajar menuduh kerajaan terdahulu dalam isu ini kerana banyak perkara yang diluluskan kerajaan terdahulu dibatalkan Guan Eng.

"Kenapa dalam isu ini pula dia (Guan Eng) sibuk hendak menyalahkan kita? (kerajaan terdahulu),” katanya. - UTUSAN ONLINE