Atas sebab itu, menurut Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, piagam tersebut tidak menyentuh mengenai pembahagian kerusi antara kedua-dua parti meskipun UMNO dan Pas secara dasarnya bersetuju tidak akan bertanding melawan satu sama lain pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Tambah beliau, piagam itu juga hanya dokumen atau perjanjian di atas kertas antara UMNO dan Pas sedangkan apa yang paling mustahak dalam kerjasama kedua-dua parti tersebut adalah keikhlasan; kejujuran dan kesungguhan dalam perjuangan membela orang Melayu dan umat Islam.

"Sebab itu kita berharap ahli akar umbi UMNO dan Pas jangan biar Presiden parti sahaja yang bekerja, sebaliknya setiap ahli ada peranan yang perlu dimainkan iaitu memastikan kerjasama atau ta'awun siyasi ini dapat dilaksanakan.

"Di Pulau Pinang kerjasama ini kita mulakan di Balik Pulau untuk kita pastikan orang Melayu dan umat Islam di sini tidak ditekan serta diabaikan dan dalam masa sama kita tidak mengetepikan kaum-kaum lain," katanya.

Beliau berucap dalam ceramah perpaduan ummah UMNO-Pas di Bangunan UMNO Balik Pulau di sini malam tadi yang turut disertai Pesuruhjaya Pas negeri, Muhammad Fauzi Yusoff.

Dalam pada itu, Muhammad Fauzi berkata, pengalaman Pas yang pernah bekerjasama dan berkongsi pentadbiran politik dengan DAP di negeri ini memberi kesedaran betapa perlunya parti tersebut mengetepikan permusuhan dan merealisasikan ta'awun siyasi bersama UMNO.

Ujar beliau, Pas telah mengharungi pelbagai cabaran ketika bersama DAP dalam Pakatan Rakyat sekali gus dapat melihat bagaimana parti itu cuba mencorak negeri ini khususnya dan negara amnya.

Tambah beliau, Pulau Pinang di bawah DAP perlu menjadi isyarat penting kepada umat Islam yang mana cara beprolitik DAP adalah terkeluar daripada konsep pentadbiran dan pembinaan negara seterusnya perlu ditolak seluruh rakyat.

"Dalam tempoh setahun selepas PRU-15, kita lihat golongan minoriti dengan gelojoh mendominasi pentadbiran negara, sedangkan parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) langsung tidak dapat berbuat apa-apa.

"Sebab itu Pas dan UMNO perlu bersatu untuk kita mempertahankan agama Islam serta orang Melayu di negara ini," katanya. - UTUSAN ONLINE