Penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Rusdi Omar berkata, pembentukan kerajaan perpaduan itu penting bagi menunjukkan kesepakatan kerjasama yang jitu antara kedua-dua parti orang Melayu terbesar ini sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Beliau yang juga Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) yakin bahawa sokongan ahli di semua peringkat akan bertambah kuat sekiranya perkara itu dapat direalisasikan.

“Kedua-dua parti (UMNO dan Pas) perlu membuktikan kesepakatan mereka (membentuk kerajaan di empat negeri) dan jika tidak, kerjasama ini masih tidak nampak ke mana.

“Sudah tentu cabaran menanti kedua-dua parti ini nanti adalah soal pembahagian kerusi yang menuntut sikap bertolak ansur yang tinggi,” katanya kepada Utusan Online di sini, hari ini.

Rusdi seterusnya berkata, jika pembentukan kerajaan perpaduan di empat negeri itu dapat dilaksanakan menerusi piagam yang bakal dimeterai nanti, soal pembahagian kerusi semasa PRU-15 akan menjadi lebih mudah.

Mengenai formula penentuan kerusi untuk ditandingi, Rusdi berpendapat bahawa kaedah populariti parti semasa keputusan PRU-14 yang lalu boleh dijadikan panduan iaitu jumlah sokongan pengundi di satu-satu tempat.

“Ini bermakna sekiranya UMNO mempunyai bilangan undi yang lebih tinggi, maka hanya calon dari parti itu atau Barisan Nasional (BN) wajar ditempatkan di situ dan begitu juga sebaliknya,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Rusdi, kerjasama UMNO dan Pas mampu memberi ancaman besar kepada Pakatan Harapan (PH) sekiranya kerajaan pada masa sekarang gagal menangani isu-isu semasa yang berlaku dengan bijaksana.

Katanya, apatah lagi kemelut yang melanda dalaman parti dan antara parti itu sendiri termasuk dalam isu penyebaran video intim yang melibatkan seorang Menteri baru-baru ini dan tuntutan jawatan Perdana Menteri.

“Selain itu, soal kebajikan penjawat awam dan golongan berpendapatan rendah (B40) yang belum ditangani secara menyeluruh sejak setahun pemerintahan.

“Golongan pertengahan (M40) pula langsung tidak nampak usaha-usaha kerajaan untuk membantu mereka sehingga kini,” kata beliau. - UTUSAN ONLINE