Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd. Shukri Ramli berkata, beliau berharap kerjasama parti itu dan UMNO menjadi kenyataan dan kekal demi kepentingan orang Melayu dan Islam.

Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang itu, kerjasama tersebut juga adalah platform kebangkitan ummah dan demi kesejahteraan rakyat selepas Pakatan Harapan (PH) dilihat gagal mentadbir negara dengan baik.

“Di peringkat negeri, kita akan mengikut apa jua arahan yang diputuskan oleh Pas Pusat. Kita bersama UMNO juga akan terus mempergiatkan penerangan di peringkat akar umbi mengenai kerjasama tersebut.

“Setakat ini, rata-rata akar umbi menyambut baik kerjasama dan penyatuan ummah ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ahad lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, piagam kerjasama UMNO dan Pas akan ditandatangani oleh kedua-kedua presidennya dalam masa terdekat.

Kata Ahmad Zahid, pemeteraian itu bertujuan merapatkan semula hubungan kedua-dua parti yang telah terpisah pada 1978 seterusnya merealisasikan kolaborasi politik UMNO-Pas.

Tambah Mohd. Shukri, kerjasama tersebut sememangnya dinantikan dan beliau percaya gabungan kedua-dua parti itu akan kembali merampas Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).- UTUSAN ONLINE