Itu merupakan reaksi Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi PH ketika diajukan soalan mengenai gambar yang tular dalam media sosial menunjukkan seorang wanita memakai baju berlogo PH didakwa mengagihkan wang kepada sekumpulan individu ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands.

Dr. Mahathir sebaliknya memberitahu, jika sesuatu pemberian itu sememangnya diperuntukkan oleh kerajaan untuk membantu rakyat, mereka yang berhak menerimanya.

“PH tidak pernah bagi duit kepada sesiapa (untuk meraih undi).

“Kalau duit (peruntukan) itu sudah kerajaan bagi, dia bagilah. Itu semua orang dapat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran produk silinder komposit gas petroleum cecair (LPG) Astana City Group Sdn. Bhd. (ACG) di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Pemba­ngunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun.

Sejak tular gambar seorang wanita itu mengagihkan wang kepada sekumpulan individu semalam, banyak pihak tampil membidas tindakan tersebut dengan mengaitkannya dengan unsur rasuah, malah Pemuda MIC turut membuat laporan polis mengenainya.

Walau bagaimanapun, parti itu telah menjelaskan bahawa gambar pemberian duit berkenaan adalah bagi pembayaran petrol kepada sukarelawan.

Dalam ucapannya, Dr. Mahathir meminta rakyat memberi sokongan kepada bara­ngan dan industri tempatan bagi memastikan apa juga industri yang lahir di negara ini dapat berkembang maju.

Katanya, amalan sedemikian penting kerana akan membawa banyak manfaat ekonomi kepada Malaysia se­perti mengawal aliran keluar wang selain mencipta peluang pekerjaan.