Najib yang juga bekas Perdana Menteri berkata, atas sebab itu tindakan lucut hak sivil dikenakan terhadap barangan tersebut bagi membolehkan ia terus disimpan.

“Selepas setahun menyiasat, kerajaan PH tidak berupaya untuk menemui sebarang bukti barangan atau wang tunai berkenaan adalah daripada hasil tidak sah.

“Sebab itu sehingga hari ini, tiada satu pendakwaan dibuat terhadap barangan dan wang tunai itu.

“Jika dikembalikan, sudah tentu tindakan itu mengesahkan Najib tidak korup (rasuah) dan tidak membeli barangan itu menggunakan wang 1MDB (1Malaysia Development Berhad) atau sumber wang yang tidak sah,” katanya menerusi hantaran dalam akaun Facebook miliknya hari ini.

Jelas Najib, tindakan lucut hak sivil itu walau bagaimanapun melanggar Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan hak setiap rakyat untuk mempertahankan harta sah mereka dipelihara.

“Kes sivil ini adalah lemah dan bukanlah kes jenayah namun ia membenarkan kerajaan PH untuk menangguh atau mengelak daripada memulangkan semua barangan itu.

“Ia juga membolehkan mereka untuk terus menggunakan pembohongan yang sama selain propaganda terhadap saya,” katanya.

Tambah Najib, berdasarkan undang-undang, barangan yang dirampas hanya boleh ditahan selama tiga bulan tetapi ia boleh dilanjutkan sekali sahaja untuk sembilan bulan lagi.

Katanya, lanjutan itu menjadikan tempoh tersebut genap setahun oleh Jabatan Peguam Negara dan akan luput dalam 10 hari lagi iaitu pada 18 Mei ini.

“Selepas luput tarikh itu, mengikut undang-undang kesemua barangan itu perlu dikembalikan jika pihak berkuasa gagal membuktikan pembeliannya menggunakan dana haram dan tidak membuat pertuduhan terhadap pemilikan barangan terbabit,” katanya. - UTUSAN ONLINE