Pengarah Pilihan Raya Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP), S. Barathidasan berkata, PH sudah tidak mempunyai modal untuk berkempen dan terpaksa menggunakan Kamal Haasan.

"Saya rasa PH sudah tiada modal lagi, di saat-saat akhir ini mereka menggunakan klip video Kamal Haasan untuk mendapatkan sokongan dan meraih pengundi kaum India bagi calon mereka iaitu, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Inilah satu-satu sasaran terakhir PH.

"Saya rasa Anwar akan kalah teruk dan tidak ada kepercayaan terhadap dirinya sendiri sehingga pelakon dari luar negara berkempen untuk beliau. Tiada dalam sejarah Malaysia sebelum ini menggunakan saluran atau bantuan sokongan daripada pemimpin luar negara untuk meraih undi," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, tular rakaman video Kamal Haasan yang juga seorang ahli politik di India yang menyatakan secara terbuka sokongannya kepada Anwar.

Beliau menyifatkan Anwar sebagai pemimpin hebat dan memahami golongan bawahan dan percaya sekiranya Ketua Umum PH itu menang di Port Dickson, ia merupakan berita baik kepada hubungan antara kedua-dua negara.

Sementara itu, Barathidasan turut mempersoalkan kewajaran Kamal Haasan digunakan oleh PH untuk menyokong Anwar.

"Di mana Kamal Haasan ketika Anwar dipecat dari UMNO dan dimasukkan ke penjara pada 1998? Adakah beliau turut menyertai perhimpunan protes reformasi? Mengapa tiba-tiba dia muncul dalam pilihan raya kecil ini dan berkempen melalui klip video?" soalnya lagi. - UTUSAN ONLINE