PH Kedah langgar manifesto PRU-14
Shaiful Hazizy Zainol Abidin

Ketuanya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, tindakan Mukhriz itu ternyata melanggar perkara ketiga daripada 10 janji Pakatan Harapan Kedah dalam masa 100 hari pemerintahan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Katanya, sikap putar belit Menteri Besar itu bagaikan terus memperkudakan bola sepak di negeri ini bagi kepentingan politik dan populariti beliau.

“Bagi Pemuda UMNO Kedah inilah wajah hipokrit Pakatan Harapan yang sama sekali melanggar janji mereka selama ini.

“Kenyataan Mukhriz dipilih adalah alasan semata-mata bagi menghalalkan tindakan mereka sedangkan pada beliau dan ahli politik lain yang dicalonkan boleh menolak pencalonan jawatan dalam KFA sejak awal lagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Shaiful Hazizy mendakwa, tindakan menerima pencalonan tersebut mengambarkan mereka tidak perduli ikrar yang dibuat dalam manifesto Pakatan Harapan pada pilihan raya umum lalu.

“Pemuda UMNO Kedah juga ragu akan kemampuan Menteri Besar memenuhi janji Pakatan Harapan di negeri ini.

“Kami beranggapan Menteri Besar tidak mempunyai fokus 100 peratus untuk memajukan negeri kerana hakikatnya beliau lebih bernafsu terhadap jawatan penting di peringkat Pusat,” dakwanya.

Kata beliau, Menteri Besar dan seluruh kepimpinan Pakatan Harapan seolah-olah masih berbulan madu sehingga gagal menggerakkan apa yang dijanjikan kepada rakyat sebelum ini.

Tambahnya, Pemuda UMNO Kedah akan terus memantau gerak geri Pakatan Harapan Kedah dalam melaksanakan janji 100 hari dalam manifesto pilihan raya umum yang lalu.