Kegagalan itu membuatkan Ketua Pembangkang, Datuk Ir Hasni Mohammad memulakan ucapannya pada Sidang DUN dengan mendoakan semoga kerajaan PH insaf dan terus bermuhasabah dan menyedari bukan mudah untuk memimpin negeri ini.

“Mari kita lihat apa kerajaan negeri PH buat dalam beberapa isu yang ternyata gagal mengurus dan mentadbir Johor, sebagai contoh tragedi Sungai Kim Kim, sepatutnya selepas ia berlaku kerajaan negeri seharusnya bertindak menubuhkan jawatankuasa bagi menilai kejadian itu.

“Bukan tunggu sehingga gelombang kedua baru nak ambil tindakan susulan,” katanya pada Sidang DUN di Kota Iskandar di sini hari ini.

Hasni (BN-Benut) menegaskan, tiada siapa mahu mempolitikkan bencana di Pasir Gudang itu termasuk pihak pembangkang kerana sebagai pembuat dasar mereka juga mahu yang terbaik untuk semua rakyat.

Selain itu, katanya, isu pertukaran Menteri Besar memegang jawatan tidak sampai setahun juga terjadi kerana PH terlalu berpolitik sehingga isu-isu negeri gagal diurus dengan baik.

“Dalam isu Undang-Undang Tubuh Negeri Johor sehingga kini bukan sahaja tiada pendirian tetapi tidak dipertahankan kerajaan negeri PH, kebisuan ahli-ahli politik PH untuk membela negeri mereka amat menghinakan.

“Begitu juga dalam isu projek Sistem Rapid Transit (RTS) yang terlalu banyak dipolitikkan terutama apabila kerajaan pusat memberi terlebih tumpuan kepada isu tanah sedangkan kemudahan itu akan memberi manfaat kepada rakyat negeri ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE.