Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keyakinan itu berdasarkan kepada trend pemilihan calon parti yang bertanding dalam lima PRK sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Calon untuk DUN Sungai Kandis, Seri Setia, Balakong, Parlimen Cameron Highlands dan sekarang DUN Semenyih, semuanya adalah mengikut status quo iaitu calon dari parti yang bertanding semasa PRU-14.

“Belum ada tanda kita (PH) akan berganjak daripada amalan ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan stesen minyak BHPetrol Sepang-Lukut di sini hari ini.

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya Seremban yang mengisytiharkan kemenangannya di DUN Rantau dalam PRU-14 sebagai terbatal dan tidak sah.

Berikutan itu, PRK DUN Rantau perlu diadakan semula.

Dalam PRU lalu, calon dari PKR, Dr. S. Streram sepatutnya bertanding bagi kerusi berkenaan namun dihalang masuk ke pusat penamaan calon oleh petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana tidak memiliki pas SPR.

Saifuddin Nasution memberitahu, berdasarkan amalan itu, PKR berharap dapat mengemukakan nama calon untuk bertanding kerusi berkenaan kepada Majlis Presiden PH yang akan membuat keputusan akhir.

“Walaupun kita pilih dan menamakan calon, pandangan daripada parti sahabat akan tetap diambil kira sebelum keputusan dibuat,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE