Naib Presidennya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah ber­kata, kepemimpinan tertinggi parti itu memberikan kebebasan sepenuhnya kepada perwakilan yang hadir untuk membahaskan perkara tersebut tanpa terikat dengan mana-mana arahan.

Menurutnya, justeru sehingga kini pihaknya belum menetapkan bentuk kerjasama secara rasmi dengan UMNO sehingga muktamar membuat keputusan.

“Saya pun tidak tahu apa isu yang bakal dibincangkan sebab benda ini datang daripada semua perwakilan nanti. Jadi, kita tunggu apa yang akan dibangkitkan.

“Pas juga tidak pernah menyekat sebarang suara daripada mana-mana perwakilan mahupun ahli akar umbi parti. Kita tidak ada bagi apa-apa arahan dan perwakilan bebas hendak bercakap segala isu berbangkit,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darul Naim, di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai Muktamar Tahunan Pas Ke-64 pada hujung minggu ini yang bakal mencipta sejarah politik baharu tanah air dengan memperlihatkan hubungan kerjasama antara Pas dan UMNO.

Tautan kerjasama antara Pas dan UMNO semakin erat apabila pemimpin kanan kedua-dua parti terbesar orang Melayu itu mengesahkan akan hadir dalam perhimpunan agung serta muktamar parti masing-masing yang berlangsung pada bulan ini.

Mengulas mengenai kehadiran pemimpin tertinggi UMNO nanti, Mohd. Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, perkara itu adalah kebiasaan pada setiap kali muktamar berlangsung.

“Dulu pun kita ada jemput ramai pemimpin daripada parti lain seperti Presiden PKR dan Setia­usaha Agung DAP, benda biasa sahaja itu,” jelasnya.